Dalam era pembangunan ini, terlalu banyak projek antropogenik yang dijalankan dan ia memerlukan pembukaan dan penerokaan kawasan baru. Selalunya, kawasan hutan akan menjadi sasaran untuk diteroka bagi projek-projek perumahan, kilang industri, dan juga pusat komersial. Selain itu, kawasan hutan juga kerap dimusnahkan dan dibuka untuk aktiviti perladangan sama ada ladang tanaman atau ladang penternakan. Hal ini kerana, kebanyakan pemaju melihat hutan sebagai "semak" dan kawasan miskin yang tiada nilai komersial.
Hutan Paya Bakau
Di Kawasan persisir pantai, jika kita masih bertuah, kita akan dapat melihat kawasan hutan yang mana tumbuh-tumbuhannya kelihatan agak unik, dengan akar yang kelihatan seperti cerucuk dan sebahagian dari batang pokok ditenggelami air. Inilah hutan yang dikenali sebagai hutan paya bakau. Antara spesies bakau yang popular ialah Avicennia sp., Bruguiera sp., dan Sonneratia sp. Hutan paya bakau merupakan habitat yang penting dan ada kepentingan ekologi yang tersendiri. Akar pokok bakau menjadi tempat pembiakan ikan dan santuari yang penting bagi hidupan marin. Oleh itu, ia memberi sumbangan yang sangat besar kepada komuniti manusia yang tinggal di sekitar pantai sama ada dari segi penyediaan bekalan makanan, dan melindungi mereka dari kesan ombak besar.
Hutan paya bakau menghadapi ancaman pembangunan akibat daripada sektor perlancongan yang pesat. Kawasan berhutan ini akan ditebang, dan ditambak dengan pasir untuk menambah kawasan daratan bagi membina chalet dan hotel. Pembangunan di persisir pantai ini sinonim dengan pemandangan laut yang cantik. Tapi dengan keadaan persisir pantai yang telah dimusnahkan, pemandangan seperti apa yang hendak kita lihat?
Selain itu, disebabkan persekitaran yang sesuai untuk ikan-ikan membiak dan bertelur, kawasan hutan ini akan dimusnahkan dan dijadikan kolam penternakan udang dan ikan. Praktis ini dikenali sebagai akuakultur. Seperti yang kita ketahui, kegiatan pembiakan dan penternakan ini akan menghasilkan banyak sisa buangan dan kimia, dan bagi kes akuakultur ini, sisa-sisa buangan akan dibuang terus ke kawasan sungai berdekatan. Kegiatan-kegiatan ini masih aktif sehingga kini, kerana masyarakat terus memandang hutan-hutan ini sebagai tidak berguna kerana tidak mendatangkan keuntungan. Namun, tahukah kita, hutan paya bakau merupakan penyimpan karbon terbesar?
Karbon, Bakau dan Pemanasan Global
Karbon boleh berada di persekitaran dalam pelbagai jenis, dan yang selalu terkait dengan pemanasan global ialah gas karbon dioksida (CO2) dan gas metana. CO2 merupakan gas perangkap haba (rumah hijau) yang utama dan boleh terbebas ke persekitaran sama ada secara semulajadi seperti pernafasan dan letusan gunung berapi, dan juga melalui aktiviti manusia, seperti penebangan hutan dan pembakaran bahan fosil. Banyaknya CO2 dalam atmosfera akan menaikkan suhu persekitaran, kerana lebih banyak haba akan terperangkap, dan membuatkan persekitaran global menjadi semakin panas.
Secara alami, tumbuh-tumbuhan akan menyerap CO2 untuk fotosintesis. Mekanisma ini menjadikan tumbuhan-tumbuhan ini sebagai ejen penyimpan dan pemproses karbon yang penting, dengan menukarkan karbon dari CO2 menjadi karbohidrat dalam buah-buahan yang dihasilkan. Namun, apa yang membuatkan hutan paya bakau istimewa ialah kemampuannya untuk menyimpan lebih 10 kali ganda karbon berbanding hutan-hutan darat yang lain. Ini bermakna, penyimpanan karbon dalam setiap satu pokok di hutan paya bakau bersamaan dengan 10 buah pokok di hutan darat.
Penyerapan Karbon dalam Hutan Bakau
Penyimpanan karbon dalam hutan paya bakau lebih banyak berlaku di bawah tanah. Berikut adalah proses yang terlibat dalam proses penyerapan karbon dalam pokok bakau. Pertama, CO2 dari atmosfera akan diserap untuk proses fotosintesis. Seterusnya, dedaun yang telah mati, ranting-ranting yang patah, dan akar yang mengandungi karbon akan tertimbus di bawah tanah, yang mana secara kebiasannya, akan dilitupi oleh pasang surut air laut. Keadaan ini menghasilkan tanah yang rendah dengan oksigen, dan melambatkan proses pereputan dan biodegradasi bagi organisma dan tinggalan-tinggalan dari bahagian pokok yang telah mati. Maka dengan ini, berkuranglah gas CO2 yang terbebas ke atmosfera, dan ini dapat mengurangkan kesan pemanasan global.
Walaupun diketahui sebagai penyimpan karbon yang efisien, pokok bakau tetap ada membebaskan gas CO2, kerana mereka menjalani proses respirasi untuk memecahkan molekul gula glukosa kepada tenaga untuk tumbesaran. Namun, ia mempunyai kadar penyimpanan karbon yang lebih tinggi berbanding kadar pembebasan. Adaptasi dan proses yang unik ini menjadikan hutan paya bakau sebagai penyimpan karbon yang signifikan.
Melawan Kesan Pemanasan Global
Turun-naik suhu atmosfera secara drastik akibat daripada perubahan iklim akan menghasilkan ribut berombak dan juga banjir. Adaptasi yang ada pada hutan paya bakau ini berhasil meminimakan implikasi ini. Akar pokok yang berselirat dan kukuh dapat menahan dan mengurangkan daya yang dihasilkan daripada ombak arus pasang-surut yang kuat, memerangkap sedimen lumpur banjir, dan menstabilkan persisir pantai.
Setakat 50 tahun yang lalu, lebih satu pertiga hutan paya bakau di dunia telah dimusnahkan atas tujuan pembangunan, pemprosesan kayu, dan juga akuakultur. Disebabkan itu, sekitar tahun 2000 hingga 2015, lebih 122 juta tan karbon telah dibebaskan. Jika berterusan, hal ini akan meningkatkan risiko banjir besar akibat daripada peningkatan paras air laut. Ini menunjukkan bahawa sebagai generasi yang akan mewarisi masa hadapan, masih banyak yang perlu dilakukan untuk melindungi dan memulihkan hutan paya bakau di seluruh dunia.