Negeri Perak Ada Penyu?: Konservasi Penyu di Pulau Pangkor

Negeri Perak dianugerahkan Tuhan dengan kewujudan penyu sebagai khazanah laut
di mana pantai-pantai di pesisir daerah Manjung termasuk di Pulau Pangkor menjadi
kawasan pilihan untuk pendaratan penyu spesis Chelonia mydas (Penyu Agar / Green
Turtle) dan Lepidochelys olivacea (Penyu Lipas / Olive Ridley). Namun pendaratan
Penyu Lipas telah merosot dan hanya Penyu Agar yang masih mendarat di kawasan
pesisir pantai daerah Manjung. Keperluan untuk kerja-kerja konservasi ini adalah
penting demi memastikan spesis penyu ini (Penyu Agar) sentiasa dan (Penyu Lipas)
kembali mendarat di daerah Manjung amnya dan juga di Pangkor khasnya.

Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara (Jilid 1) menyatakan terdapat
beberapa pantai berpasir yang penting di pulau luar pesisiran seperti Pangkor dan
juga tanah besar di Segari adalah tapak penting untuk pendaratan penyu. Penyu Lipas
dan Penyu Agar telah diklasifikasi sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa
untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Pantai Teluk Ketapang merupakan salah satu pantai berpasir yang terdapat di Pulau
Pangkor. Pantai ini telah menyaksikan pendaratan Penyu Agar (Chelonia mydas)
sejak 2017 melalui rekod dan pengamatan komuniti di sini. Walau bagaimanapun
penyu sebenarnya telah lama mendarat di pantai ini namun tidak pernah direkodkan
sebelum 2017. Komuniti di Pangkor telah menggiatkan diri dengan kerja konservasi
penyu di Pulau Pangkor sebelum penglibatan oleh mana-mana pihak di Pulau
Pangkor.

Bermula pada tahun 2016, dengan niat untuk mewujudkan kawasan rekreasi dan
tapak perkemahan di Pantai Teluk Ketapang, komuniti Pangkor telah melakukan
pembersihan di kawasan pantai dan sekitar. Walau bagaimanapun setelah mendapati
terdapatnya kehadiran penyu di kawasan pantai Teluk Ketapang, pihak komuniti telah
membatalkan niat untuk mewujudkan tapak perkemahan dan lebih menumpukan
kepada pembersihan kawasan pantai dan juga pemerhatian terhadap pendaratan
penyu. Pada 3hb Julai 2016, merupakan tarikh keramat apabila penemuan pertama
penyu yang mendarat di kawasan pantai Teluk Ketapang.

Penemuan ini telah memberi kesan positif kepada komuniti tempatan kerana penyu
juga merupakan haiwan yang unik di kalangan komuniti Cina dan mempunyai makna
dari segi kebudayaan dan kepercayaan. Bermula dari detik tersebut, para komuniti di
Pangkor giat melakukan pembersihan kawasan pantai di Teluk Ketapang untuk
memastikan penyu ini dapat mendarat dengan lebih kerap.

Sepanjang tahun 2017 dihabiskan dengan kerja-kerja pembersihan dan ada juga
individu daripada komuniti setempat di Pangkor telah mengambil inisiatif dengan
mempelajari teknik-teknik pengambilan telur penyu dan juga ilmu-ilmu konservasi
daripada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari. Pada tahun tersebut
terdapat 19 sarang penyu telah direkodkan dan kesemuanya dihantar ke Pusat
Konservasi dan Penerangan Penyu Segari untuk proses pengeraman dan penetasan
ex-situ.2.0 Se

Pada tahun 2018, pihak komuniti di Pangkor mula menjalankan kerja- kerja konservasi
dengan penglibatan komuniti setempat yang ingin melihat penyu-penyu ini menetas
di Teluk Ketapang dan kembali semula ke Teluk Ketapang setelah tempoh matang
iaitu selepas 20-25 tahun. Pada tahun ini jugalah pihak komuniti giat melindungi
sarang-sarang telur daripada ancaman kecurian dan juga pemangsa (hidupan liar)
sekitar pantai tersebut.

Ada sarang yang dibiarkan secara in-situ dan ada juga sarang secara ex- situ. In-situ
merupakan kaedah pengeraman di tempat asal yang telah dipilih oleh ibu penyu
tersebut manakala ex-situ merupakan kaedah pengeraman di sarang yang telah
dialihkan ke kawasan yang lebih selamat namun masih mengikut ciri-ciri tapak asal
sarang telur penyu tersebut.

Pada tahun yang sama (2018), pihak komuniti juga turut giat bersama penduduk
Pangkor yang lain giat melakukan aktiviti konservasi yang lain dengan memulihara
habitat kawasan pendaratan penyu. Kawasan pantai di Teluk Ketapang kerap
dibersihkan dan ditanam dengan pokok ambong- ambong (Scaveola taccada) untuk
tujuan teduhan sarang dan merawat pasir di pantai.

Pihak komuniti juga telah membina tapak penetasan untuk sarang ex-situ dengan
kaedah pembinaan yang seminimal mungkin untuk mengurangkan impak serta
menghalang dari kawasan pantai itu agar hilang ciri-ciri asal sebagai tapak pendaratan
penyu yang semulajadi. Struktur yang ada hanyalah bersaiz minimal dan
menggunakan kayu- kayan yang lebih mesra alam serta tanpa pencahayaan yang
mampu menghalang pendaratan penyu.j

Pada tahun 2018, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), telah
turun ke Pantai Teluk Ketapang dengan keizinan dan permit penyelidikan daripada
Ibu Pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya dan giat menjalankan kajian terhadap
pendaratan penyu di Pantai Teluk Ketapang. Kumpulan penyelidik ini juga berperanan
membantu komuniti dengan bimbingan mereka dalam amalan dan SOP kaedah
konservasi dan pemerhatian saintifik yang lebih mesra alam (tanpa gangguan secara
lansung atau tidak lansung terhadap penyu bagi mengekalkan ciri semulajadi sebaik
mungkin).

Ini amat penting buat komuniti bagi menambah ilmu konservasi dan membetulkan
tanggapan para penduduk Pangkor yang lain di mana terdapatnya penjualan dan
pemakanan telur penyu oleh segelintir penduduk. Dalam tahun 2019 jugalah komuniti,
dengan bimbingan penyelidik USM, telah melakukan pendekatan saintifik melalui
pemerhatian bersama dan dengan mensektorkan atau mengkelaskan kawasan
pendaratan penyu.

Melalui kaedah ini, penyu yang turun bertelur dapat direkodkan dengan lebih teliti dan
juga maklumat tambahan diperolehi sepanjang pemerhatian ini. Setelah itu, kesemua
sarang telur penyu yang mendarat di Teluk Ketapang hanya dijalankan secara in-situ
dan tiada pemindahan sarang telur penyu dilakukan bagi mengekalkan ciri semulajadi
yang telah ditetapkan oleh ibu penyu itu sendiri.

Pada tahun ini juga para komuniti telah mengambil keputusan untuk menubuhkan
sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang tertumpu kepada kerja-kerja
konservasi penyu serta kesedaran awam. Pendaftaran telah dilakukan, dan pada
30hb Oktober 2020, sebuah NGO secara rasminya tertubuh dengan nama “Persatuan
Pencinta dan Pemuliharaan Penyu Pulau Pangkor” atau mudah dipanggil Kampung
Penyu.

Setelah kelulusan diperolehi, Kampung Penyu mewakili komuniti Pangkor yang giat
dan komited terhadap konservasi penyu di Pangkor sebelum ini telah bergerak
dengan lebih efisien dan berstruktur. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan oleh pihak
Kampung Penyu dengan komuniti tempatan, pengunjung luar dan juga agensi
kerajaan yang telah datang berkunjung ke pulau Pangkor.

Sambutan daripada pengunjung luar dan pelancong juga amat menggalakkan. Aktiviti
pembersihan pantai, penanaman pokok dan juga pelepasan anak penyu dijalankan
dengan tujuan memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan dan
pemuliharaan spesis penyu serta penjagaan kawasan pendaratan penyu.

Pada tahun 2020 juga, pihak Kampung Penyu giat bekerjasama dengan komuniti
nelayan untuk perkongsian dan penyaluran maklumat yang penting seperti penemuan
penyu di perairan, penemuan bangkai penyu, penemuan penyu yang sakit dan juga
pendaratan penyu-penyu di sekitar pantai di Pangkor. Maklumat ini juga turut
disalurkan kepada Pejabat Perikanan Negeri Perak.

Sepanjang penglibatan komuniti setempat, pendaratan penyu di pantai Teluk
Ketapang mengalami peningkatan secara memberangsangkan. Bermula dengan
rekod sebanyak 19 sarang pada tahun 2017, meningkat kepada 24 sarang pada tahun
2018, 28 sarang pada tahun 2019, hingga 37 sarang pada tahun 2020, dan 18 sarang
pada tahun 2021 (Sehingga pertengahan 2021).

Keperluan untuk menjalankan kajian saintifik bagi mengkaji pendaratan penyu dan
habitat yang menjurus kepada pengurusan serta konservasi penyu haruslah
diteruskan untuk pantai- pantai pendaratan yang ada samada di tanah besar atau di

Pulau Pangkor mahupun kepulauan Pulau Sembilan.Teruskan menyokong usaha-
usaha konservasi penyu dan pantai-pantai pendaratan penyu di Pulau Pangkor.

Nantikan program-program dan aktiviti konservasi menarik yang akan dianjurkan
sepanjang tahun ini!

Recent Articles